EN | BM

KEPADA PEMBELI DAN PIHAK BERKEPENTINGAN J-SATINE YANG AMAT DIHARGAI

Jumaat, 6 Jun 2025

Terima kasih kepada semua yang telah menyertai Sesi Libat Urus Pembeli J.Satine pada hari Selasa, 3 Jun 2025. Kami menghargai masa anda, soalan yang dikemukakan, serta maklum balas yang telah diberikan.

Kami berharap pembentangan mengenai garis masa projek, semakan bangunan oleh pihak bebas, dan kerja-kerja keselamatan yang sedang dijalankan telah membantu menjawab kebimbangan anda.

Bagi mereka yang tidak dapat hadir, kami mahu anda turut menerima maklumat yang sama. Anda boleh menonton rakaman Sesi Libat Urus tersebut dengan membuat janji temu bersama pasukan khidmat pelanggan kami di [email protected].  

Anda juga boleh melihat soalan lazim (FAQ) di pautan ini.

Untuk sebarang pertanyaan lain atau jika anda ingin berkongsi pandangan, sila hubungi kami di alamat e-mel berikut:

[email protected] atau [email protected]  

Terima kasih atas kesabaran dan pemahaman anda.

Penafian: Maklumat yang diberikan dalam Soalan Lazim (FAQ) ini adalah untuk panduan umum sahaja. Sebarang tafsiran, terjemahan, atau kebergantungan terhadap kandungan ini adalah atas risiko anda sendiri. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang salah faham, salah tafsir atau kesan yang mungkin timbul daripada penggunaan maklumat ini. Sila berunding dengan pihak berkuasa atau profesional yang berkenaan.

DOKUMEN SOALAN LAZIM [FAQ]

TERKINI 6 JUN 2025

BILSKOP TUMPUANBUTIRAN
1.Kronologi kejadian

November 2024

Pada 6 November 2024, satu kejadian telah dilaporkan oleh penduduk berhampiran tapak pembinaan. Jayyid Land Sdn Bhd segera mengambil tindakan dengan memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Hasil siasatan DBKL mendapati terdapat keretakan pada dinding ricih, tiang, dan lantai, terutamanya dari tingkat lapan ke atas di Blok C. Menyedari kepentingan keselamatan, kami mematuhi arahan DBKL sepenuhnya dan menghentikan semua kerja pembinaan pada 8 November 2024 seperti yang diarahkan. Kami juga telah melantik jurutera bebas bagi menilai struktur bangunan dan komited untuk mengemukakan semua laporan teknikal diperlukan, seterusnya memulakan perancangan kerja-kerja pemulihan, selaras dengan cadangan pakar.

 

Disember 2024 – April 2025

Pada akhir Disember 2024, kami memulakan penyiasatan menyeluruh terhadap keadaan tanah dan struktur, sebagai bukti komitmen kami terhadap keselamatan dan ketelusan. Sepanjang tempoh ini, kami telah menyerahkan laporan interim dan laporan akhir kepada DBKL yang memperincikan tahap kerosakan, cadangan pembaikan, dan langkah keselamatan tambahan. Sebagai pemaju yang bertanggungjawab, kami juga mengekalkan komunikasi terbuka dan berkala dengan pihak berkuasa serta pembeli, dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan serta kesejahteraan semua pihak berkepentingan.

 

April – Mei 2025

Pada April 2025, laporan akhir yang disediakan oleh perunding bebas telah siap dan dihantar kepada DBKL. Selepas penelitian dibuat, DBKL memberikan kelulusan untuk kerja pembinaan disambung semula bagi Blok SOHO serta Blok A dan B pada 21 April 2025. Jayyid Land Sdn Bhd terus bekerjasama rapat dengan DBKL dan pakar bebas bagi memastikan kerja pembinaan di Blok C dan D hanya akan diteruskan selepas kerja pengukuhan asas struktur disiapkan dan disahkan secara bebas, sekali gus menunjukkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap keselamatan dan kualiti.

 

2.Pihak manakah yang menentukan skop siasatan jurutera bebas dan pihak yang menanggung kos?
  • Jurutera bebas dilantik ialah pihak profesional yang sangat berkelayakan dan tidak berpihak yang telah diberi kuasa penuh untuk menentukan skop dan kaedah siasatan bagi memastikan objektif serta penilaian dilaksanakan secara menyeluruh.
  • Jayyid Land Sdn Bhd, selaku pemaju, telah mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap semua kos yang terlibat, sekali gus menunjukkan komitmennya terhadap aspek keselamatan, akauntabiliti, dan tahap pemantauan projek mengikut piawaian tertinggi.
  • Pemilihan jurutera bebas dibuat berdasarkan kepakaran, kelayakan teknikal, dan kedudukannya yang bebas bagi memastikan integriti proses siasatan tidak terjejas.
3.

Mengapa punca tidak dapat dikesan lebih awal?

 

  • Projek J.Satine direka bentuk dan dibina sepenuhnya mengikut piawaian industri yang telah ditetapkan, menggunakan pihak profesional bertauliah dan pemeriksaan kualiti yang ketat.
  • Kejadian yang berlaku berpunca daripada keadaan tanah luar jangka dan tidak dapat dikesan semasa siasatan awal di tapak projek dijalankan.
  • Jayyid Land Sdn Bhd kekal komited dalam memantau tapak projek secara berterusan serta melaksanakan pengurusan risiko yang proaktif.
4.

Apa yang berlaku kepada pembangunan tersebut?

 

  • Punca utama insiden di Blok C adalah disebabkan oleh keadaan bawah tanah yang tidak dijangka dan berisiko, serta cabaran dalam melaksanakan langkah pencegahan tambahan, yang akhirnya menyebabkan penurunan tanah. Keadaan bawah tanah yang bermasalah ini berpunca daripada kewujudan banyak rongga, iaitu ciri biasa formasi batu kapur jenis karst.
  • Hasil ujian siasatan tanah dan pemeriksaan menyeluruh yang dijalankan oleh pemeriksa bebas mendapati bahawa kejadian tersebut tidak berpunca daripada reka bentuk struktur, mutu kerja, mahupun kualiti konkrit yang digunakan semasa pembinaan. Tiada unsur kecuaian dikesan daripada mana-mana pihak.
5.Apakah kerja-kerja pembaikan yang sedang dilaksanakan?

Kerja-kerja pembaikan dilaksanakan mengikut piawaian tertinggi industri, di bawah seliaan profesional bebas yang bertauliah. Struktur asas bangunan diperteguhkan dan kawasan terjejas sedang dipulihkan untuk memastikan tahap keselamatan untuk jangka panjang, kestabilan struktur, dan kualiti kediaman anda yang berterusan. Kerja-kerja pemulihan merangkumi:

  • Pembaikan asas:
    • Pemasangan cerucuk berdiameter kecil yang berkapasiti tinggi bagi memindahkan beban bangunan daripada struktur asas yang terjejas ke lapisan tanah atau batuan dasar yang lebih stabil
    • Pemantauan langsung semasa dan selepas kerja-kerja pembaikan dijalankan bagi memastikan tahap keberkesanan proses tersebut
  • Pembaikan struktur:
    • Meroboh dan membina semula bahagian struktur yang terjejas
    • Membaik pulih dan memperteguhkan elemen struktur termasuk penebalan dinding ricih serta penggunaan bahan polimer bertetulang gentian karbon (CFRP)
6.Bagaimana Residensi J.Satine memastikan penyelesaian kecacatan menyeluruh dan berkekalan, serta memberi jaminan ia tidak berulang?
  • Bagi memastikan keselamatan dan ketenangan fikiran anda, satu tinjauan struktur menyeluruh telah dilaksanakan oleh juruukur bebas, sebagaimana diarahkan oleh Pemeriksa Bebas (IC). Tujuannya ialah untuk mengesan dan menangani sebarang isu tersembunyi yang mungkin sukar kelihatan pada peringkat awalnya.
  • Kerja-kerja pembaikan ini merangkumi:
    • Berdasarkan penemuan daripada penggunaan peralatan canggih bagi mengesan masalah struktur yang tersembunyi.
    • Dilaksanakan dengan penuh teliti bagi menjamin keselamatan bangunan untuk jangka panjang bangunan.
    • Disahkan dan diselia oleh pasukan perunding utama dan jurutera bebas.
    • Tertakluk kepada pemantauan berterusan dan ujian berkala bagi memastikan tahap keberkesanan berkekalan.
    • Disokong dengan penambahbaikan pada reka bentuk asas dan kaedah pembinaan.
  • Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen kami untuk menerapkan amalan kejuruteraan terbaik serta memberikan keyakinan tambahan kepada semua pemilik rumah J.Satine.
7.

Adakah projek kediaman ini selamat untuk diduduki? Apakah jaminan bahawa projek kediaman ini selamat untuk didiami?

 

  • Kami ingin menyakinkan semua pembeli bahawa penyerahan milikan kosong hanya akan dilakukan setelah projek kediaman ini disahkan selamat dan memenuhi syarat untuk didiami. Selaras dengan Klausa 27 Jadual H di bawah Peraturan-peraturan Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan).
  • Buat masa ini, kerja-kerja pembaikan struktur sedang dijalankan dan dipantau rapi oleh jurutera profesional (Submitting Engineer) dan Perunding Pemeriksa Bebas (Independent Checker Consultant) bagi memastikan semua piawaian keselamatan dan kejuruteraan dipatuhi. Laporan kemajuan bulanan turut dikemukakan kepada DBKL manakala laporan akhir akan disediakan selepas kerja-kerja pembaikan selesai untuk semakan dan kelulusan pihak berkuasa sebelum baki kerja pembinaan disambung semula.
  • Kami menghargai kepercayaan anda sepanjang usaha kami menyiapkan projek kediaman ini dengan selamat dan penuh rasa tanggungjawab.
8.

Adakah pihak pemaju akan berkongsi perkembangan terkini dengan pembeli?

 

  • Pemaju akan terus mematuhi semua proses yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, dan sebarang perkembangan serta kemajuan akan dikemas kini secara berkala kepada pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan aspek ketelusan dipatuhi.
  • Kami akan berkongsi maklumat terkini yang berkaitan kepada pembeli melalui saluran rasmi kami.
9.Bilakah pembinaan akan bersambung semula? Adakah terdapat tarikh jangkaan siap yang baharu, dan adakah terdapat Lanjutan Masa (EOT)?
  • Kerja pembinaan dan pembaikan telah disambung semula sejak DBKL menarik balik Perintah Henti Kerja pada 21 April 2025.
  • Berdasarkan kemajuan kerja semasa projek ini, kami sedang berusaha sedaya upaya untuk menyiapkan projek ini dan memastikan serah milik dilaksanakan tepat pada masanya.
  • Buat masa ini, kami merizabkan hak untuk memohon Lanjutan Masa (EOT) bila dan sekiranya perlu.
10.

Adakah pemaju akan menanggung atau membayar semula faedah progresif pinjaman bank saya akibat arahan pemberhentian kerja?

 

  • Kami memahami kebimbangan para pembeli. Walau bagaimanapun, pihak pemaju tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian kewangan sepanjang tempoh pemberhentian kerja, termasuk bayaran faedah pinjaman, memandangkan perkara ini adalah sebahagian daripada perjanjian antara pembeli dan pihak bank masing-masing.
  • Siasatan bebas telah mengesahkan bahawa tiada unsur kecuaian terlibat. Projek ini diteruskan mengikut Perjanjian Jual Beli (SPA) dan kerja pembinaan telah disambung semula setelah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.
11.Apakah hak saya jika berlaku kelewatan dalam penyerahan milikan?
  • Kami ingin menegaskan bahawa semua hak anda di bawah Perjanjian Jual Beli (SPA) kekal tidak berubah.
  • Pembeli akan berhak menuntut Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) sekiranya projek gagal disiapkan dan diserahkan dalam tempoh yang ditetapkan.
12.Adakah tempoh liabiliti kecacatan akan dilanjutkan?
  • Ya, tempoh liabiliti kecacatan akan dilanjutkan selama satu tahun, menjadikan jumlah keseluruhan 36 bulan.
  • Ini mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap kualiti, akauntabiliti, dan ketenangan fikiran anda sebagai pembeli.
13.Blok manakah yang terjejas?
  • Hanya Blok C yang terjejas. Pasukan kami akan menghubungi pembeli unit yang terlibat secara langsung dalam tempoh 14 hari bekerja. Sekiranya anda tidak dihubungi dalam tempoh ini, ia bermaksud unit anda tidak terjejas.
14.Apakah saluran komunikasi yang disediakan untuk pembeli berhubung dengan pemaju berkaitan kepentingan mereka?
  • Sekiranya anda mempunyai maklum balas atau pertanyaan lanjut, sila hubungi  Pasukan Khidmat Pelanggan di:
  • Bagi memudahkan proses semakan dan maklum balas, sila nyatakan nama penuh, nombor unit, dan butiran untuk dihubungi seperti yang tercatat dalam Perjanjian Jual Beli (SPA) ketika mengemukakan pertanyaan anda.
SOALAN LAZIM (FAQ) TAMAT